Rindu Bersimpang di Langkawi

Tengah hari tadi, usai menyiapkan kerja, saya turun ke bawah sebentar untuk membeli makanan. Saya melihat jam, lagu OST Paloh, "Tetap Di Sini", berkumandang lembut di ruang earbud di telinga, menemani langkah saya masuk ke 7E. Tangan pantas mencapai sepaket kecil coklat Hershey's di rak. Saat itu juga, kepala saya dihimpit memori—Langkawi. Sayup terasa rindu. Coklat sebenarnya bukanlah kegemaran saya, tetapi setiap gigitan membawa saya kembali ke daerah Mahsuri itu, menyulam kenangan yang pernah saya tenun di sana. Sampai di rumah, telefon berdering. Panggilan daripada seorang rakan lama di Langkawi. Suaranya kedengaran lemah; katanya dia tidak sihat. Kami berbual seketika. Namun, selera makan saya hilang sebaik mendengar bahawa sudah hampir setahun dia lumpuh. Hati saya menjadi sayu. Sosok yang dahulunya ceria, pantas bergerak ke sana-sini melayani pelanggan, kini bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda. Kawan-kawan? Entah di mana. Jauh sekali bertanya khabar. Namun, dia tetap seperti yang saya kenali—seorang yang kuat. Tiada keluh-kesah pada nadanya. Dia tidak meminta apa-apa, sekadar berkongsi rasa. Saya terkedu. Dalam hati, terdetik rasa syukur kerana mungkin keputusan meninggalkan Langkawi suatu ketika dahulu adalah keputusan yang tepat. Walau berat dan bertentangan dengan kehendak hati, keadaan memaksa saya kembali ke hiruk-pikuk Kuala Lumpur. Namun, jujurnya, jiwa dan raga saya sudah terpaut pada damai pulau itu. Dan tika ini, saya termenung panjang. Tuhan sudah memberi peluang kepada saya untuk memperbaiki diri. Barangkali inilah masanya untuk benar-benar berserah dan sentiasa beringat bahawa kita tidak tahu bila waktu kita akan tiba. Di pulau, kita tenang dan gembira, namun kita mungkin lupa ada wajah-wajah yang menanti perhatian kita di luar sana—wajah yang terlalu lama kita abaikan. Itulah yang kini saya cuba perbaiki. Semoga apabila saat kepergian saya tiba, saya tidak sendirian. Biarpun saya memilih untuk tidak berikat, saya tetap berharap ada yang sudi menziarahi dan bertanya khabar, meski ketika itu saya tidak lagi relevan dan tidak lagi diperlukan. Salam sayang & jumpa lagi! SA

Comments

Popular Posts