Rindu Bersimpang di Langkawi
Tengah hari tadi, usai menyiapkan kerja, saya turun ke bawah sebentar untuk membeli makanan. Saya melihat jam, lagu OST Paloh, "Tetap Di Sini", berkumandang lembut di ruang earbud di telinga, menemani langkah saya masuk ke 7E. Tangan pantas mencapai sepaket kecil coklat Hershey's di rak. Saat itu juga, kepala saya dihimpit memori—Langkawi. Sayup terasa rindu. Coklat sebenarnya bukanlah kegemaran saya, tetapi setiap gigitan membawa saya kembali ke daerah Mahsuri itu, menyulam kenangan yang pernah saya tenun di sana. Sampai di rumah, telefon berdering. Panggilan daripada seorang rakan lama di Langkawi. Suaranya kedengaran lemah; katanya dia tidak sihat. Kami berbual seketika. Namun, selera makan saya hilang sebaik mendengar bahawa sudah hampir setahun dia lumpuh. Hati saya menjadi sayu. Sosok yang dahulunya ceria, pantas bergerak ke sana-sini melayani pelanggan, kini bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda. Kawan-kawan? Entah di mana. Jauh sekali bertanya khabar. Nam...